91 terima darjah, pingat hari keputeraan Sultan Terengganu - Utusan Malaysia

91 terima darjah, pingat hari keputeraan Sultan Terengganu

SATIFUL Bahari Mamat (kiri) menerima anugerah D.P.M.T daripada Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 91 individu menerima kurniaan darjah kebesaran dan pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-60, di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini.

Sultan Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran dan pingat kepada semua penerima.

Turut berangkat pada istiadat pengurniaan tersebut ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mendahului senarai penerima darjah kebesaran  ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Mohd. Zamruni Khalid yang dikurnia Darjah Kebesaran Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (D.S.M.Z) dan membawa gelaran Datuk.

Seramai 18 individu termasuk dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Satiful Bahari Mamat dan Dr. Alias Razak dikurnia Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (D.P.M.T).

Selain itu, darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk itu juga dikurnia kepada Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Muhammad Idham Nawawi; Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. dan Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan.

Darjah kebesaran

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu, Tun Ahmad Faizal Tun Abdul Razak dan Pengarah Pertanian negeri, Zulkepli Mat Jusoh @ Yusof dikurnia darjah kebesaran D.P.M.T.

Sultan Mizan juga berkenan mengurniakan pingat Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (S.M.Z) kepada 25 individu termasuk empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terenganu iaitu Hanafiah Mat, Ariffin Deraman, Dr. Mamad Puteh dan Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman.

Seramai 17 individu termasuk dua ahli akademik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) iaitu  Prof. Dr. Tengku Sifizul Tengku Muhammad dan Prof. Dr. Mohd. Shaladdin Muda pula dikurnia pingat Darjah Ahli Setia Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (S.M.T).

Pingat Darjah Kebesaran Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (A.M.Z) dan Darjah Ahli Mahkota Terengganu Yang Amat Terhormat (A.M.T) pula masing-masing dikurniakan kepada empat dan 26 orang.

Antara  penerimanya ialah Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman dan Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya