84 warga asing pelbagai kesalahan ditahan Imigresen

84 warga asing pelbagai kesalahan ditahan Imigresen

PEGAWAI imigresen membuat pemeriksaan terhadap dua lokasi di Brickfields dan Bukit Bintang, Sabtu lalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 84 warga asing atas pelbagai kesalahan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam dua serbuan di Bukit Bintang dan Brickfields, Sabtu lalu. 

Serbuan pertama dijalankan di sebuah parti persendirian di Bukit Bintang yang dianjurkan oleh warga tempatan. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan itu, seramai 171 orang telah diperiksa dan 25 daripadanya telah ditahan.

Jelasnya, tangkapan melibtkan petugas majlis, artis persembahan, pelayan dan tetamu yang melakukan kesalahan seperti tiada dokumen yang sah, pas tamat tempoh dan salah guna pas.

“Tetamu terdiri daripada kalangan warga asing majoriti daripada benua Afrika. Semasa pemeriksaan dilakukan, berlaku beberapa aksi provokasi dan cubaan melarikan diri melalui pintu belakang premis. 

“Walau bagaimanapun, situasi berjaya ditenteramkan dan pemeriksaan dapat dilakukan dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Khairul Dzaimee berkata, setiap tetamu dikenakan yuran masuk sebanyak RM150 secara atas talian dan lokasi parti hanya akan dimaklumkan pada hari terakhir kepada tetamu bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Parti ini menghidangkan minuman keras dan persembahan yang menjolok mata. Rata-rata artis yang membuat persembahan dan tetamu terdiri daripada warga asing dan ramai dalam kalangan mereka memegang pas pelajar.

“Imigresen turut menyerbu sebuah penempatan warga asing berbentuk kontena tiga tingkat yang terletak di Brickfields,” katanya. 

Tambah beliau, seramai 294 warga asing terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal.

“Daripada jumlah itu, seramai 59 orang ditahan kerana tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah untuk tinggal serta peserta Program Rekalibrasi PATI yang ditolak.

“Kes disiasat dibawah  Akta Imigresen 1959/63 dan  Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” ujar beliau.

Jelasnya, beberapa warga tempatan termasuk penganjur majlis dan majikan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

Imigresen mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang sentiasa menyalurkan maklumat tentang keberadaan dan aktiviti warga asing yang mengganggu ketenteraman awam dan melanggar undang-undang Malaysia.

 “Kita mengharapkan keprihatinan ini berterusan supaya Jabatan ini dapat meneruskan penguatkuasaan undang-undang dan membanteras keberadaan PATI di Malaysia,” katanya.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN