KUCHING: Sebanyak RM125 juta bersamaan 62 peratus daripada peruntukan keseluruhan RM200 juta bagi Program Pengedaran Barang Perlu telah dilaksanakan di Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia memberi manfaat kepada sejumlah 500,000 penduduk di negeri ini.
“Program ini adalah bertujuan membolehkan penduduk di kawasan pedalaman atau luar bandar menikmati tujuh harga barangan keperluan asas ada harga yang sama seperti di bandar.
“Malah program seperti ini melibatkan 112 zon merangkumi 538 kawasan pengedaran,” katanya ketika berucap di Majlis Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dataran Perayaan, Petra Jaya di sini, hari ini.
Kata Ismail Sabri, kerajaan menyedari perbezaan harga barangan yang ketara antara bandar dan pedalaman di enam buah negeri terutama di Sarawak.
Justeru, katanya, Program Pengedaran Barang Perlu atau lebih dikenali sebagai Progam Penyeragaman Harga dilaksanakan dengan peruntukan RM200 juta.
Antara barangan tersebut ialah gula putih, tepung gandum am/bukan kegunaan am, minyak masak sawit, beras putih, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel. – UTUSAN










