500 kenderaan ditenggelami banjir kilat

500 kenderaan ditenggelami banjir kilat di Johor Bahru

KENDERAAN yang ditenggelami air di kawasan letak kereta di Wisma Persekutuan berikutan hujan lebat selama 2 jam di Johor Bahru . - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hujan lebat yang melanda Johor Bahru dalam tempoh dua jam petang tadi menyebabkan banjir kilat yang menenggelamkan kira kira 500 kenderaan di pusat bandar raya tersebut.

Sehubungan itu kerajaan negeri akan meneliti langkah-langkah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan kejadian banjir kilat tersebut dapat diatasi.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di bandar raya ini disebabkan peningkatan taburan hujan secara mendadak selain kejadian air pasang.

“Beberapa bulan lepas, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah melakukan kerja-kerja pembersihan longkang di sekitar kawasan ini, namun banjir kilat ini berlaku disebabkan oleh peningkatan air secara mendadak.

“Saya dimaklumkan (kebiasaannya) dalam tempoh satu jam air hujan sekitar 20 hingga 30 mm (milimeter) tetapi kali ini menyaksikan taburan hujan mencecah paras 100 mm.

“Selain itu, paras air pasang juga agak tinggi, iaitu 1.15 meter dan ini telah menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir ke laut,” katanya kepada ditemui selepas melakukan tinjauan ke Jalan Ayer Molek, di sini yang terjejas akibat banjir kilat.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kerja pengepaman bagi menyalurkan air keluar dari kawasan tersebut selain menambah baik sistem itu untuk menampung kapasiti air yang lebih tinggi.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan MBJB untuk mencari penyelesaian segera supaya perkara sebegini dapat dielak pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya