4,053 pegawai perubatan, farmasi diserap ke lantikan tetap

4,053 pegawai perubatan, farmasi diserap ke lantikan tetap

Sebanyak 4,053 Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi ditawarkan lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi mengisi kekosongan sedia ada. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seramai 4,053 Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi yang ditemuduga telah ditawarkan lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pemakluman keputusan pengambilan secara tetap bagi Pegawai  Pergigian dan Pegawai Farmasi dibuat pada 15 Ogos lalu, manakala Pegawai Perubatan pula dibuat pada 16 Ogos lalu. 

Beliau berkata, pelantikan secara tetap ini adalah selaras keputusan kerajaan yang prihatin dengan keperluan sumber manusia KKM.

“Antara kriteria pengambilan ini ialah prestasi semasa latihan siswazah atau khidmat wajib, laporan penilaian prestasi tahunan (LNPT) dan juga penilaian semasa temuduga.

“Pecahan 4,053 pegawai yang berjaya membabitkan 3,215 Pegawai Perubatan, 438 Pegawai Pergigian dan 400 Pegawai Farmasi. 

“Pegawai yang berjaya boleh memuat turun surat tawaran pelantikan secara tetap daripada portal Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) SPA mulai 29 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini. 

Katanya, selaras dengan tawaran pelantikan secara tetap ini, KKM akan membuka sistem e-placement (e-Housemen, e-Dentist dan e-Pharmacist) mulai pertengahan September depan bagi membolehkan pegawai membuat pemilihan sendiri penempatan secara dalam talian.

Khairy berkata, pemakluman mengenai tarikh sistem ini mula dibuka akan dikemukakan kepada pegawai satu minggu lebih awal menerusi e-mel manakala, tarikh melapor diri pula ditetapkan pada 17 Oktober ini. 

Menurutnya, pengambilan seramai 4,053 pegawai ini adalah urusan pengambilan jawatan tetap terbesar dilaksanakan sejak pelantikan secara kontrak jawatan berkenaan pada tahun 2016.

“Pengambilan jawatan tetap ini juga merupakan perjawatan tetap tambahan yang pertama kali dilaksanakan sejak tahun 2015. 

“Sejak Dasar Pengoptimuman Sumber Manusia dalam Perkhidmatan Awam dan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam mula dilaksanakan pada 2015, tiada perjawatan baharu diluluskan melainkan dibuat secara tukar ganti (trade-off) dengan perjawatan kosong sedia ada,” katanya. 

Khairy berkata, kerajaan turut bersetuju mewujudkan sekurang-kurangnya 1,500 perjawatan tetap membabitkan jawatan berkenaan pada setiap tahun bermula 2023 sehingga tahun 2025.

Jelasnya lagi, kerajaan juga bersetuju untuk mewujudkan 800 jawatan tetap pakar  perubatan dan 70 pakar pergigian setiap tahun mulai tahun hadapan, bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap di fasiliti kesihatan KKM. 

Katanya, bagi pegawai yang tidak dilantik secara tetap, perkhidmatan kontrak mereka masih diteruskan mengikut kontrak berkuat kuasa. 

“Bagi mereka yang sedang berkhidmat di bawah khidmat wajib pula akan ditawarkan pelantikan semula secara kontrak selama dua tahun lagi selepas kontrak khidmat wajib tamat bagi tujuan kesinambungan perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya