4 ADUN Bersatu boleh jalankan tugas sehingga Mahkamah Tinggi buat keputusan

4 ADUN Bersatu boleh jalankan tugas sehingga Mahkamah Tinggi buat keputusan

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  masih boleh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing, sehingga Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan mengenai saman pemula yang dibuat mereka.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selagi keputusan belum dibuat Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, kesemua ADUN tersebut boleh menerima faedah dan gaji seperti biasa.

”Selagi keputusan tidak dibuat oleh Mahkamah Tinggi, kesemua ADUN berkenaan masih boleh laksanakan tanggungjawab di kawasan masing-masing,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembesaran Hospital Pantai di Bayan Lepas, di sini hari ini.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain. 

Empat ADUN iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

DUN Pulau Pinang dan Speaker mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan. 

Pada Rabu lalu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng supaya Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas tergempar diadakan bagi menentukan status kerusi dua bekas ADUN PKR yang dipecat daripada parti itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri membuat keputusan berhubung perkara selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan.

”Sekarang ini adalah penting untuk kita menunggu keputusan Mahkamah Tinggi terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, tiada keperluan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) dalam kes tersebut kerana di bawah undang-undang, PRK hanya boleh diadakan sekiranya berlaku kekosongan kerusi dalam tempoh lebih dua tahun sebelum pilihan raya umum (PRU).

“Di bawah undang-undang negara, tidak akan ada PRK sekiranya kekosongan kerusi wujud dalam tempoh dua tahun sebelum PRU akan datang. Jika peruntukan ini diguna pakai, maka tidak timbul tentang PRK,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya