300 ibu tunggal di Melaka layak terima bantuan one-off

300 ibu tunggal di Melaka layak terima bantuan one-off

KALSOM Nordin (kanan) melekatkan Jalur Gemilang pada sebuah teksi ketika Majlis Pra Pelancaran Jalur Gemilang di Melaka Sentral, Peringgit, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 300 daripada 5,000 ibu tunggal di negeri ini telah memohon dan layak menerima Insentif Bantuan Khas Ibu Tunggal secara sekali bayar (one-off).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka, Datuk Kalsom Nordin berkata, kerajaan negeri telah melonggarkan syarat-syarat dan memudahkan proses permohonan lantas menyebabkan semakin ramai ibu tunggal yang tampil memohon.

Menurutnya, ibu tunggal yang layak tidak perlu lagi mengisi borang permohonan di Pejabat Pembangunan Wanita di Menara Persekutuan, Ayer Keroh di sini, sebaliknya boleh berbuat demikian di setiap 28 Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun).

“Langkah itu dipermudahkan bagi memastikan peruntukan sebanyak RM500,000 yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2022 negeri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dapat dimanfaatkan golongan berkenaan.

“Ketika awal pelancaran, sambutan agak kurang, namun selepas diumumkan penyerahan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan akan diuruskan oleh wakil rakyat, permohonan semakin bertambah.

“Antara syarat yang ditetapkan sebelum ini mesti mempunyai tanggungan, tetapi sekarang kita terbuka kepada mana-mana ibu tunggal untuk memohon bagi meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pra Pelancaran Jalur Gemilang di sini, semalam.

Sementara itu, mengenai pelancaran Jalur Gemilang, Kalsom memberitahu, program berkenaan sebagai medium menyantuni kira-kira 40 pemandu teksi di Melaka Sentral bagi menyemarakkan sambutan hari kebangsaan.

Katanya, pemandu teksi dipilih sebagai duta untuk bersama mengibarkan bendera Malaysia.

“Kita juga menyampaikan sumbangan keperluan makanan kepada mereka. Sebanyak 2,000 Jalur Gemilang turut diagihkan oleh Japerun Pengkalan Batu untuk dihias di kampung-kampung dalam kawasan DUN ini.

“Rondaan akan dilakukan bagi memastikan tiada Jalur Gemilang yang lusuh atau dalam keadaan koyak dikibarkan dan sekiranya ada, Japerun akan gantikan dengan yang baharu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.