JOHOR BAHRU: Polis menahan 25 individu termasuk seorang wanita yang ‘lalok’ ketika asyik berhibur semasa serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di bandar raya ini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, Op Pusat Hiburan pada pukul 12.15 tengah malam itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Dalam serbuan tersebut, seramai 43 pengunjung diperiksa yang terdiri daripada 33 lelaki dan empat wanita serta seorang lelaki dan tiga wanita warga asing berusia antara 17 hingga 61 tahun.
Kesemua individu termasuk dua remaja lelaki di bawah umur dibawa ke IPD Johor Bahru Selatan bagi menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil daripada ujian saringan air kencing mendapati 21 lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua remaja lelaki di bawah umur positif ujian dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu memasukkan dadah ke dalam tubuh badan yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Raub berkata, seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis ditahan mengikut Seksyen 6 (2) di bawah Enakmen Negeri Johor kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Lelaki terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing yang tidak memiliki pas pekerjaan yang sah.
“Dalam masa sama, tiga wanita warga negara asing telah ditahan di bawah Seksyen 39b Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki bekerja tanpa permit yang sah,” katanya.
Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aktiviti penyalahgunaan dadah di mana-mana premis hiburan boleh menghubungi terus talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323. – UTUSAN










