224 kes kemalangan di Bentong dalam tempoh 7 bulan

224 kes kemalangan di Bentong dalam tempoh 7 bulan

ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan pemandu lori muatan kayu bergaji yang terbabas ke dalam gaung dalam kemalangan  di Kilometer 43.3 Lebuh Raya Kuala Lumpur ke Karak (menghala ke Timur) pada 29 Julai lalu berdekatan Bentong, Pahang. - IHSAN IPD BENTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Sebanyak 224 kes kemalangan jalan raya melibatkan pelbagai jenis kenderaan di Kilometer 40 hingga 50 Lebuh Raya Kuala Lumpur ke Karak, di sini dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, daripada jumlah tersebut, kemalangan yang membabitkan kereta antara yang tertinggi dilaporkan iaitu sebanyak 164 kes manakala lori (24 kes), motosikal (14 kes) dan kemalangan lain (22 kes).

“Berasaskan statistik itu, saya menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhati-hati dan berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya. 

“Sewajarnya, pengguna khususnya pemandu memastikan terlebih dahulu kenderaan yang hendak dipandu dan motosikal diselenggara dengan baik dan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Zaiham berkata, dua pemandu lori treler berusia 24 tahun dan 30 tahun nyaris maut apabila kenderaan yang mereka pandu terbabas dan terbalik dalam kemalangan pada 29 Julai lalu pada pukul 7 pagi di Kilometer 43.3 Lebuh Raya Kuala Lumpur ke Karak menghala ke Timur. 

Beliau berkata, kemalangan pertama melibatkan sebuah lori treler muatan besi buruk dari Pelabuhan Klang menghala ke Kuantan hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik. 

“Kejadian ini berpunca jalan basah dan licin berikutan keadaan cuaca hujan. Selang beberapa minit kemudian, di lokasi yang sama sebuah lagi lori treler muatan kayu bergaji cuba mengelak kejadian itu lalu hilang kawalan dan terlanggar batu penghadang,” katanya.

Beliau berkata, akibat hilang kawalan, lori berkenaan masuk ke dalam gaung dan rakaman kejadian itu turut tular dalam media sosial melalui akaun Tik Tok milik @EYNAREDHO.

Zaiham berkata, pemandu lori treler muatan besi buruk itu mengalami kecederaan bahagian belakang badan, tangan kiri dan kanan.

“Pemandu lori treler muatan kayu bergaji pula patah kaki, tangan kanan dan bahu kiri yang  dibawa ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Jelasnya, kes kemalangan tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN