BALIK PULAU: Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang kerana disyaki bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan itu ditahan pada kedudukan kira-kira 1.66 kilometer utara Monkey Beach, di sini pukul 5.15 petang semalam.
Katanya, bot nelayan tempatan itu ditahan ketika sedang bersauh di utara perairan Pulau Pinang oleh anggota penguat kuasa Maritim Malaysia negeri yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Benteng Laut.
”Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan kelas C2 itu dikendalikan 22 kru warga Thailand termasuk tekong berusia antara 26 tahun hingga 54 tahun.
”Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua kru terbabit disyaki melakukan kesalahan iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Seksyen 56 (1A) (a) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melakukan kesalahan dengan berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah. – UTUSAN










