1MDB isu basi, UMNO tak peka masalah  rakyat

1MDB isu basi: UMNO tak peka masalah  rakyat

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai basi mencerminkan nilai kepemimpinan UMNO yang angkuh.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, kenyataan sedemikian menunjukkan betapa UMNO sebagai sebuah parti politik tidak peka dengan permasalahan dihadapi rakyat negara ini.

Beliau menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai menafikan sentimen akar umbi termasuk kemarahan rakyat terhadap penipuan serta penyalahgunaan kuasa oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Skandal 1MDB adalah jenayah yang memalukan bangsa Melayu dan negara. Jadi, bagaimana dalam satu tempoh yang singkat, Datuk Seri Mohamad boleh melupakan penipuan dan penyelewengan kuasa paling besar serta terburuk pernah berlaku dalam sejarah zaman moden ini.

“Sebaliknya, Timbalan Presiden UMNO itu dengan ‘bangga’ mengatakan isu skandal 1MDB sudah basi dan tidak lagi dipedulikan rakyat. Maka itu satu lagi tragedi melanda bangsa Melayu kerana memiliki pemimpin yang sanggup mengabaikan perasaan dan kepentingan seluruh bangsa itu semata-mata untuk mempertahankan seorang pemimpin tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Solihan Badri

Mohd. Solihan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang berkata, jika benar sentimen itu yang dirasa dan hendak dimainkan oleh UMNO, maka parti itu sudah tidak ada nilai lagi kerana gagal membela dan memperjuangkan hak dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, Bersatu Johor mendesak beliau meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut secara terbuka kerana ia telah melukakan hati, memalukan serta mencemarkan maruah seluruh bangsa Melayu.

“Orang Melayu seperti Datuk Seri Mohamad inilah sebenarnya orang Melayu yang mudah lupa. Pada masa sama, rakyat sama sekali tidak akan memaafkan dan melupakan skandal mega seperti 1MDB. Fakta kes ini tidak boleh dipadamkan,” ujarnya.

Semalam, Mohamad dilaporkan berkata, isu skandal 1MDB dan kluster mahkamah adalah satu isu basi dan hanya dimainkan pembangkang untuk menagih sokongan masyarakat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN