KUALA NERUS: Sebanyak 144 buah bot nelayan asing yang dilucut hak dilupuskan dengan cara ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Terengganu sejak 2010.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata, pelupusan itu melibatkan anggaran jumlah rampasan RM216 juta dengan majoritinya adalah bot nelayan Vietnam.
Menurut beliau, jumlah bot tersebut termasuk 17 buah bot yang dilupuskan tahun ini dengan cara sama dan musnah hancur di sekitar Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Bidong.
“Dijangka sebanyak 40 buah bot lagi yang berada di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim negeri, Kemaman dan Bukit Datu akan ditenggelamkan sebaik menerima pelucutan hak daripada mahkamah tahun ini.
“Kesemua bot berkenaan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) dan 16(3) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam sidang akhbar selepas program pelupusan dua bot nelayan Vietnam di perairan Pulau Bidong di sini, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan melalui Op Naga Barat dan Op Kuda Laut yang dilaksanakan tahun lalu oleh Kapal Maritim (KM) Nusa.
Tambah Muhammad Suffi, kaedah penenggelaman bot-bot nelayan asing sebagai tukun tiruan merupakan inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan pertumbuhan biodiversiti marin.
Selain itu, katanya, operasi yang diadakan itu juga simbol keseriusan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.-UTUSAN