14,000 peluang pekerjaan, RM6 bilion pelaburan sokong TBB

14,000 peluang pekerjaan, RM6 bilion pelaburan sokong TBB

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) merasmikan ISES ke-5 2022 diiringi oleh (dari cdari kiri) Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Haji Rosli Isa; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju dan Ketua Pengarah Internantional Renewable Energy Agency, Francesco La Camera di KLCC hari ini. - FOTO/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menjangkakan 14,000 peluang pekerjaan dan nilai pelaburan baharu berjumlah RM6 bilion dapat diwujudkan bagi menyokong pembangunan industri Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara.

Perdana Menteri berkata, peluang pekerjaan dan pelaburan baharu itu dapat diwujudkan selepas kerajaan bersetuju melaksanakan program serta pembaharuan sistem pembekalan elektrik negara bagi merancakkan komitmen dalam peralihan tenaga.

Ismail Sabri berkata, terdapat empat program pembaharuan sistem pembekalan elektrik iaitu yang pertama meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota TBB sebanyak 1,200 megawatt (MW) bagi sumber solar.

“Kuota baharu ini akan diagihkan untuk pelaksanaan program di bawah mekanisme sedia ada termasuk New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) dan program pemasangan solar di bumbung bangunan.

“Penerokaan kaedah pelaksanaan program TBB baharu seperti pembangunan taman solar (solar park), pembekalan elektrik untuk tujuan pusat-pusat data baharu serta penjanaan hidrogen hijau dan sebagainya.

“Selain penyediaan opsyen baharu perolehan bekalan elektrik hijau kepada syarikat korporat melalui konsep Perjanjian Pembelian Tenaga Maya atau Virtual Power Purchase Agreement (VPPA), mulai suku tahun keempat 2022, dengan tawaran kuota 600MW,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tenaga Lestari (ISES) Ke-5 2022 di sini semalam.

Menurut Ismail Sabri, program kedua ialah melibatkan pelaksanaan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu bagi menyediakan bekalan elektrik yang konsisten, mampu bayar dan rendah pelepasan karbon.

“Penggunaan elektrik di kedua-dua buah pulau peranginan itu akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam menjelang tahun 2025, sekali gus mengurangkan kira- kira 70 peratus pelepasan gas rumah kaca,” katanya.

Selain itu katanya, yang ketiga melibatkan pembangunan kerangka Renewable Energy Certificate (REC) kebangsaan yang jelas dengan tadbir urus dan kawal selia yang baik dan teratur, agar REC yang dihasilkan di negara ini mempunyai kredibiliti, telus dan nilai yang tinggi. 

“Ini akan meyakinkan syarikat korporat untuk melakukan ‘offset’ terhadap jejak karbon dari sumber penjanaan bahan api fosil melalui instrumen REC,” katanya.

Seterusnya kata Ismail Sabri, melibatkan proses menetapkan kerangka perundangan kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) supaya aspek keselamatan awam dan pengguna terpelihara dan terjamin.

Sehubungan itu katanya, Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur EV di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan dikuatkuasakan pada suku tahun keempat 2022 bagi memastikan pembangunan infrastrukturnya dilaksanakan dengan selamat dan teratur mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Syarikat MySuri Biz Technologies Sdn. Bhd. akan menyediakan 1,000 unit EV teksi, sebagai menyokong usaha penyahkarbon negara.

“Keterlibatan pihak GLC seperti TNB perlu dipergiatkan bagi menyokong pembangunan industri EV negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yakin sekiranya diwujudkan satu dasar peralihan tenaga yang berdaya maju, Malaysia mampu menarik pelaburan syarikat korporat yang memerlukan bekalan elektrik hijau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN