GEORGE TOWN: Polis menjangkakan lebih 10,000 orang bakal memenuhi kawasan Padang Kota Lama di sini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat Pulau Pinang pada 31 Ogos ini.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis meminta orang ramai merancang perjalanan masing-masing bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.
Apatah lagi tambah beliau, beberapa laluan utama menuju ke Padang Kota Lama akan ditutup semasa raptai penuh dan semasa perarakan bermula pada 29 Ogos sehingga 31 Ogos ini.
”Bermula pada tarikh itu jalan-jalan yang terlibat akan ditutup secara berperingkat bermula pukul 12.01 tengah malam ini hingga 2 petang 31 Ogos nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.
Menurut Soffian, bagi raptai penuh pada 29 Ogos, jalan-jalan yang ditutup ialah Jalan Tun Syed Sheh Barakbah bermula dari persimpangan masuk Dewan Sri Pinang, Lebuh Light dan kenderaan akan dilencongkan melalui Jalan Masjid Kapitan Keling dan Lebuh Leith, Jalan Pengkalan Weld dan Lebuh Pantai.
“Semua jalan akan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan bermula pukul 12.01 tengah malam ini sehingga 2 petang esok atau selepas raptai penuh perarakan selesai,” katanya.
Tambah beliau, pada 30 Ogos pula, penutupan jalan hanya akan dibuat di laluan masuk ke Dewan Bandaraya Pulau Pinang di Padang Kota Lama sama ada melalui Jalan Tun Syed Sheh Barakhbah atau melalui Lebuh Light bermula 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam.
“Pada 31 Ogos iaitu ketika sambutan Hari Kebangsaan, jalan yang ditutup ialah Lebuh Farquhar/Lebuh Light, Jalan Pengkalan Weld dan Lebuh Pantai yang mana ditutup bermula pukul 12.01 tengah malam hingga 2 petang atau selepas perarakan selesai,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, sebanyak 81 kontinjen membabitkan 4,800 orang dan 27 kontijen kenderaan melibatkan 665 buah kenderaan dengan seramai 108 orang terlibat dalam perarakan Hari Kebangsaan tersebut.
“Seramai 276 pegawai dan anggota polis bersama petugas agensi lain telah diarahkan bertugas memantau keadaan pada 31 Ogos ini.
”Polis juga akan mengambil tindakan penutupan jalan dan lencongan kenderaan secara berperingkat di laluan-laluan yang dikenal pasti sekiranya berlaku kesesakan jalan raya akibat peningkatan jumlah kenderaan yang tinggi,”katanya. –UTUSAN










