Zalina didakwa tidak pernah tinggal di rumahnya

Zalina didakwa tidak pernah tinggal di rumahnya

Rumah yang didakwa milik Zalina Azman di Jalan Ketiau 3/10 Seksyen 3, Shah Alam, Selangor. – UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jiran bekas personaliti TV3, Zalina Azman mendakwa tidak pernah nampak wanita berkenaan tinggal di rumahnya di Seksyen 3 di sini yang dikatakan dibeli beberapa tahun lalu.

Malah mereka mendakwa, Zalina, 58, juga jarang bergaul dengan penduduk di kejiranan berkenaan.

Menurut salah seorang penduduk yang enggan dikenali, anak lelaki mangsa pernah datang ke rumah personaliti itu pada 24 November lalu iaitu hari mangsa dipercayai hilang untuk bertanya tentang Zalina.

“Saya cakap tak nampak kelibat Zalina. Saya tidak pernah nampak Zalina tinggal di situ sejak dia beli rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Malah, tinjauan Utusan Malaysia mendapati keadaan persekitaran luar rumah Zalina kelihatan tidak terurus, seolah-olah sudah lama ditinggalkan, selain pintu pagar luar rumah dua tingkat itu juga dilihat tidak berkunci.

Seorang pemilik pusat tahfiz, Mohammad Bokhari Sharif, 76, berkata, dia tidak pernah bertegur sapa atau melihat kelibat Zalina walaupun pusat pengajiannya terletak bersebelahan.

Menurutnya, Zalina ada membuat kerja-kerja pengubahsuaian terhadap rumah tersebut pada tahun 2019 namun terbengkalai beberapa bulan sebelum Zalina hilang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, siasatan melibatkan personaliti tersebut masih diklasifikasi sebagai kes orang hilang dan setakat ini tiada sebarang petunjuk mengatakan terdapat unsur jenayah melibatkan kehilangan Zalina.

“Sejak laporan kehilangan diterima polis November lalu, usaha menjejaki personaliti berkenaan giat dilakukan tetapi menemukan jalan buntu. Dise­babkan itu, kenyataan media dikeluarkan semalam bagi orang ramai membantu mengesan beliau,” katanya di sini semalam.

Berita tersebut dikongsikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.

Dalam laporan berkenaan, Zalina disifatkan berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan beralamat akhir di Seksyen 3, Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan memaklumkan laporan kehilangan wanita itu telah dibuat keluarga sejak 29 November tahun lalu selepas anaknya cuba menjejaki ibunya untuk memaklumkan tentang bapanya yang dimasukkan ke hospital.

Anaknya mendapati keadaan dalam rumah tidak tersusun dan menemukan beg duit mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, kunci kereta serta wang tunai berjumlah RM600.

Polis juga percaya bekas personaliti TV3 itu masih berada dalam negara selepas semakan tidak menunjukkan sebarang rekod perjalanan keluar dari negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.