PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mewujudkan satu sistem yang mengawal seluruh pemain industri berkaitan minyak masak supaya aktiviti penyeludupan barangan tersebut dapat dibanteras.
Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, sistem itu perlu berupaya mengawal secara menyeluruh daripada sumber bekalan minyak bukan sekadar peniaga kecil atau peruncit.
Menurut beliau, pemantauan secara ketat sahaja tidak akan dapat mengengkang aktiviti penyeludupan bekalan minyak masak kerana kumpulan terbabit sudah ‘buta’ dengan keuntungan semata-mata.
“Aktiviti ini sentiasa berlaku sejak dahulu lagi, apabila tindakan dipertingkatkan kumpulan terbabit akan mengurangkan aktiviti mereka buat sementara waktu dan apabila keadaan reda semula mereka jalankan kerja seperti biasa demi mengaut keuntungan.
“Jadi dengan ada sistem yang mengawasi bekalan minyak masak ni, kita boleh berapa jumlah minyak masak dijual, berapa dihasilkan dan siapakah pemborong juga boleh tahu. Ini menjadikan tiada pihak orang tengah yang menjadi punca kepada perkara ini,” katannya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar melaporkan, meskipun harga minyak turun tapi minyak tidak ada di pasaran, maksudnya, masalah ini belum selesai kerana terdapat kemungkinan aktiviti menyorok bekalan dalam kalangan peniaga masih berlaku.
Aktiviti penyeludupan yang baru-baru ini dikesan berlaku di pelbagai negeri sehingga wujud dakwaan Kelantan menjadi hub pada kegiatan tersebut adalah antara punca ketiadaan bekalan kerana petualang mengaut untung besar dengan menjualnya di luar negara.
Sependapat dengan itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi menggesa kerajaan mewujudkan satu aliran mana pengilang membawa bekalan minyak masak secara terus kepada pengguna.
Jelasnya, KPDNHEP perlu berjumpa dengan pengilang dan memastikan bekalan minyak masak sampai kepada kedai-kedai runcit tanpa ada kelompongan sehingga ada pihak ketiga cuba menyeludup bekalan tersebut.
“Perkara ini saya pernah katakan dahulu, selepas itu ketiadaan stok ayam akan terjadinya perkara sama berkaitan minyak masak dan sekarang ni ia benar terjadi sedangkan isu bekalan minyak masak tidak sepatutnya terjadi
“Kementerian perlu memastikan bekalan sampai kepada pengguna dan hapuskan orang tengah kerana mereka yang bertanggungjawab kepada ketiadaan bekalan apabila mereka melakukan aktiviti penyeludupan serta sorok bekalan daripada warga pengguna,” katanya. – UTUSAN