Waris pegawai pendidikan terima khairat kematian YGMB

YGMB sumbang khairat kematian berjumlah RM55,000

TUN Mohd. Salim Tun Ibrahim (tiga dari kiri) menyampaikan khairat kematian YGMB kepada Tuan Kamariah Raja Yusof sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB,Datuk Wan Munadi Wan Mamat (kiri) di Kuala Nerus, Terengganu hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Waris Allahyarhamah Sukeriah Mat Jusoh, guru di sebuah sekolah rendah khas di Kuala Terengganu yang meninggal dunia akibat serangan jantung, Mei lalu, menerima khairat kematian daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) berjumlah RM27,009.46 di sini, hari ini.

Faedah sumbangan itu diserahkan Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Tun Mohd. Salim Tun Ibrahim kepada suami arwah Sukeriah, Wan Mohd. Azizi Wan Isa, 44.

Menurut Wan Mohd. Azizi, isterinya yang ketika itu berusia 45 tahun mengalami serangan jantung di rumah mereka di Kampung Merchang, Marang, pada pukul 8.30 pagi, 13 Mei lalu.

“Isteri saya sudah beberapa tahun menghidap penyakit jantung dan pernah menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu selama 11 hari pada 2018.

“Arwah bagaimanapun tidak pernah menjalani sebarang pembedahan sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir secara mengejut pada pagi Jumaat itu.

“Saya reda dan bersyukur bantuan ini mampu dijadikan tabung pendidikan empat orang anak kami yang berusia tujuh sehingga 18 tahun dan masih bersekolah.

“Sejak peninggalan isteri, kami menetap di rumah ibu mertua kerana anak bongsu, Wan Fatin Badriyya Soleha, 7, tidak mahu berpisah dengan neneknya dan sering menangis merindukan ibunya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan khairat kematian daripada YGMB berjumlah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir di sini.

Pada majlis itu, Wan Mohd. Azizi mewakilkan ibu arwah Sukeriah, Tuan Kamariah Raja Yusof, 64, untuk menerima khairat kematian itu.

Wan Mohd. Azizi tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bekerja sendiri sahaja.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya turut menyampaikan faedah khairat kematian kepada seorang lagi waris ahli yayasan tersebut, semalam.

Menurutnya, sumbangan khairat kematian sebanyak RM28,022.32 itu diberikan kepada Asohan Embong, 50, suami kepada Allahyarhamah Noor Azuan Abdul Rahman yang meninggal dunia 5 April lalu akibat sakit jantung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN