SEREMBAN: ‘Atap bocor dan rumah dipenuhi barang lusuh’.
Demikian kehidupan harian Mansor Mohd. Tahir, 66, seorang warga emas yang tinggal sendirian dalam rumah pusaka keluarganya yang sangat daif dan serba kekurangan di Ampangan di sini.
Mansor Mohd. Tahir, 66, yang tiada punca pendapatan menghuni rumah yang ‘berbumbungkan langit’ apabila atapnya bocor.
Keadaan itu menyebabkan Mansor yang sebelum ini bekerja sebagai penilai gred kayu rasa tidak selesa terutama ketika hujan apabila rumah dimasuki air.
“Apabila hujan lebat dan angin kuat memang tempias air masuk dalam rumah, tetapi, saya tiada pilihan kerana ini satu-satunya rumah pusaka keluarga yang saya diami.
“Ruang di bahagian depan rumah inilah tempat saya tidur, sembahyang dan masak, kalau ikutkan tak selesa, tapi nasib saya tinggal begini di usia tua,” katanya ketika ditemui semalam.
Mansor yang bekerja sendiri tidak mempunyai pendapatan tetap setelah berhenti kerja pada usia 55 tahun dan sejak itu dia hanya mengharapkan bantuan kewangan daripada adik perempuannya.
“Saya sebenarnya segan untuk meminta bantuan tetapi wang simpanan sudah habis, hendak baiki kerosakan rumah ini memang saya tidak mampu malah adik juga sudah pencen sampai bila hendak mengharapkan bantuannya.
“Dari segi makan saya mudah sahaja, masak yang ringkas seperti bubur atau sayur itu sudah cukup untuk alas perut,” katanya yang tidak pernah berkahwin.
Lebih membimbangkan, Mansor berkata, rumahnya pernah dimasuki ular sawa dan tedung sebanyak tiga kali selain keadaan rumah tersebut berisiko terkena litar pintas.
Jelas Mansor yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik, dia reda dengan ujian yang menimpanya dan berharap dapat menghuni rumah yang lebih selesa untuk berteduh.
“Cukuplah rumah yang saya boleh solat dengan selesa dan tidak perlu risau setiap hari terutama apabila hujan,” katanya yang mempunyai masalah kolesterol serta sakit di bahagian belakang badan.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mansor di talian 019-2565199 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 155014913428 (Mansor Mohd Tahir). – UTUSAN










