MERSING: Seorang pejalan kaki warga emas maut selepas terperosok di bawah lori dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Jemaluang-Mersing petang tadi.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edrward Nuing berkata, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing menerima maklumat tentang kejadian itu kira-kira pukul 6.30 petang.
Kemalangan itu melibatkan sebuah lori jenis Isuzu membawa muatan makanan sejuk beku dengan seorang pejalan kaki.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati lori jenis Isuzu yang dipandu oleh seorang lelaki dari arah Johor Bahru hendak menuju ke Endau, apabila tiba di lokasi kejadian berdekatan bulatan Mersing, lori tersebut sedang menunggu giliran untuk memasuki bulatan.
“Ketika hendak memasuki bulatan, pemandu lori tersebut terdengar bunyi dan memberhentikan lori. Apabila pemandu tersebut turun dari lori mendapati seorang wanita berusia 83 tahun berada di bahagian bawah lori tersebut.
“Akibat kemalangan tersebut, pejalan kaki berkenaan mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Mersing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Punca kemalangan masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN









