PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan sambutan Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, segala jasa dan pengorbanan kedua-dua badan beruniform itu dalam menjaga keamanan dan mempertahan kedaulatan negara tidak terkira besarnya.
“Warga ATM dan PDRM membuktikan mereka adalah pahlawan tulen ketika negara berhadapan dengan ancaman Covid-19 sedikit masa dahulu.
“Mereka adalah petugas barisan hadapan yang sanggup mempertaruh nyawa bagi membantu apa sahaja perancangan kerajaan demi mengekang penularan wabak ini tanpa mengira waktu walaupun diri mereka sendiri terdedah kepada ancaman wabak tersebut.
“Pengorbanan besar anda semua akan dikenang sampai bila-bila dan hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala khidmat bakti dan kebaikan anda,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin mengajak orang ramai untuk sama-sama terus mendoakan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan para pahlawan negara yang masih setia berkhidmat.
“Kepada yang terkorban dan telah pergi meninggalkan kita semua, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Selamat Hari Pahlawan 2022,” ujarnya. – UTUSAN