SHAH ALAM: Seorang wanita yang didakwa dalam keadaan ketakutan mengunjungi sebuah kafe di Seksyen 9, Shah Alam, Ahad lalu seperti tular dalam media sosial bukanlan Zalina Azman yang dilaporkan hilang.
Perkara itu disahkan pemilik kafe yang enggan identitinya didedahkan apabila membuat laporan polis terhadap wanita berkenaan yang dikatakan mirip bekas personaliti TV3 itu.
“Saya mengesyaki wanita itu adalah Zalina lantas membuat laporan di balai polis berdekatan, Isnin lalu.
“Namun, saya mengesahkan wanita yang hadir ke kafe bukan Zalina setelah seorang anggota polis menunjukkan gambar Zalina dan meminta saya membandingkan wajah wanita yang hadir ke kafe dengan muka Zalina,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Terdahulu, tular dakwaan mengatakan seorang wanita mirip Zalina, 58, ditemukan dekat sebuah kafe kira-kira pukul 9 malam pada Ahad lalu.
Turut mendakwa menemui wanita serupa adalah seorang pengguna Facebook mendakwa ternampak kelibat wanita tersebut berhampiran sebuah restoran makanan segera di Seksyen 3, di sini, beberapa hari lalu.
“Fizikal wanita itu kecil, kurus dan berambut paras bahu membawa dua buah beg berwarna hitam yang mana, salah satu beg berisi makanan.
“Wanita tersebut hanya jalan kaki sahaja dan tak silap saya ketika itu pukul 11 malam. Saya membuat laporan di balai polis berdekatan rumah berhubung perkara ini,” katanya ketika dihubungi menerusi Facebook.
Bagaimanapun, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam satu makluman berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana individu berhubung penemuan Zalina.
Tambahnya, berdasarkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Zalina didakwa masih berada di negara ini.
Sementara itu, tinjauan ke rumah personaliti itu di Seksyen 3 di sini mendapati pagar rumahnya sudah pun dikunci untuk menghalang daripada bukan ahli keluarga masuk ke dalam, tidak seperti pada hari-hari sebelum ini. – UTUSAN










