PETALING JAYA: Wanita yang menghina agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, di sini ditahan polis.
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin mengesahkan perkara itu di sini hari ini.
Noorsiah dalam satu kenyataan memberitahu, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 12 Julai ini.
“Suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan siasatan masih diteruskan,” katanya ringkas.
Terdahulu, siasatan dimulakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penularan video menunjukkan seorang wanita menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.
Siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Kertas siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni.
Selain itu, kertas siasatan juga dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Sebelum ini, tular video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab malam di TTDI.
Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan auratnya.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedang menyiasat video tular seorang wanita dipercayai menghina kesucian Islam itu. –UTUSAN ONLINE