Wang RM1 juta diagih dalam kalangan Exco Armada - Pegawai penyiasat - Utusan Malaysia

Wang RM1 juta diagih dalam kalangan Exco Armada – Pegawai penyiasat

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) hadir untuk sebutan kes di Mahkamah Sesyen dan Majistret Kuala Lumpur. - UTUSAN/WAN REDZA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun Armada telah diagih-agihkan dalam kalangan Exconya, sehari selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan menggeledah kediaman Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Penguasa Kanan SPRM, Mohd. Syahmeizy Sulong, 37, berkata, wang itu diagih-agihkan pada 1 April 2020 manakala rumah Ahli Parlimen Muar itu digeledah pada 31 Mac 2020 berkaitan siasatan kehilangan wang RM250,000 daripada kediaman beliau.

Jelasnya, sebanyak RM650,000 diberikan kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan, Muhammad Daniel Kusari manakala sebanyak RM250,000 diserahkan kepada ahli Bersatu, Muhammad Naqib Ab. Rahim.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 29, atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik.

Pegawai penyiasat bagi kes penyelewengan dana Armada Pusat itu berkata, siasatan mendapati wang RM1 juta yang dikeluarkan pada 6 Mac 2020, terlebih dahulu disimpan di rumah Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut saksi pendakwaan ke-25 itu, pada 31 Mac, Syed Saddiq kemudian menghubungi Rafiq dan mengarahkan beliau membawa keluar wang itu daripada rumahnya kerana risau akan dijumpai dan disita oleh SPRM.

Mohd. Syahmeizy berkata, hasil siasatan mendapati Syed Saddiq pada awalnya mengarahkan dua pemegang amanah Armada iaitu Rafiq dan Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi mengeluarkan wang itu daripada akaun di CIMB KL Sentral.

Menurut saksi, cek pengeluaran ditandatangani oleh Rafiq dan Ahmad Redzuan kerana Syed Saddiq tidak mempunyai masa ke bank selain tanda tangannya sering berubah ketika menandatangani cek.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Mohamed Tahir, pegawai SPRM itu berkata, Syed Saddiq mengeluarkan arahan itu kerana merasakan kedudukannya dalam Pakatan Harapan (PH) tidak kukuh.

Ujarnya, Ahmad Redzuan mencadangkan wang itu diagihkan kepada Muhammad Daniel kerana beliau mempunyai peti besi di rumahnya selain turut disimpan oleh Muhammad Naqib yang merupakan ahli perniagaan.

Menurut pegawai penyiasat itu, pada 5 Mac 2020 pihak SPRM menggeledah rumah Muhammad Daniel dan menemukan wang RM425,537 manakala bakinya telah diagih kepada ketua-ketua bahagian dan ahli-ahli Armada seluruh negara.

Saksi berkata, idea pengeluaran wang itu dibangkitkan selepas insiden `Langkah Sheraton’ pada 23 Februari 2020 ketika Syed Saddiq dan beberapa pemimpin Armada mengadakan pertemuan di kediaman beliau di Petaling Jaya bagi membincangkan dana dalam akaun tersebut.

Ujar Mohd. Syahmeizy, Syed Saddiq amat risau terhadap pergolakan selepas `Langkah Sheraton’ dan meminta kepastian baki wang dalam akaun Armada Pusat yang merupakan hasil titik peluhnya sepanjang berjawatan Ketua Armada.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi menafikan wujud konspirasi untuk mengenakan Syed Saddiq seperti didakwa oleh pihak pembelaan.

Saksi turut ditanya mengapa Syed Saddiq dituduh kali pertama pada 22 Julai 2021 sedangkan izin untuk mendakwa dikeluarkan pada 4 Januari tahun sama.

Mohd. Syahmeizy: Untuk siasatan terhadap YB Syed Saddiq, pihak SPRM telah membuka lima kertas siasatan yang berbeza aduan dan maklumat.

“Oleh itu, pertuduhan terhadapnya dibuat terlalu lama kerana saya memerlukan keterangan saksi yang ‘synchronize’ dengan kertas siasatan lain kerana ketika itu ada kertas siasatan yang belum siap ke atas YB Syed Saddiq,” kata saksi.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya