BENTONG: Seorang warga emas cedera di leher sebelah kanan akibat terkena libasan parang dalam kejadian samun di Taman Hijau, Karak, di sini semalam.
Cucunya berusia 18 tahun pula bengkak di kepala akibat hentakan bahagian belakang parang ketika cuba mempertahan barang kemas neneknya daripada disamun.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, ekoran kejadian itu, polis mengesan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20 tahun hingga 30 tahun bagi membantu siasatan.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, dua suspek terbabit menceroboh masuk sebuah kediaman di taman tersebut dan melarikan barang kemas milik pasangan warga emas berusia 69 tahun dan 72 tahun.
“Berdasarkan percakapan mangsa, suspek melarikan barang kemas iaitu rantai dan cincin milik isterinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
PASANGAN warga emas dan cucunya mempertahan diri ketika berdepan dua suspek lelaki sebelum melarikan barang kemas dalam kejadian samun di Taman Hijau, Karak di Bentong, Pahang semalam.
Menurut Zaiham, warga emas lelaki terbabit menerima 10 jahitan akibat kecederaan dalam kejadian tersebut di sebuah klinik berdekatan.
Katanya, kedua-dua suspek itu memakai topi keledar bertutup dan menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 ketika menyamun rumah warga emas tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Akta Kanun Keseksaan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara 20 tahun dan disebat. – UTUSAN











