KOTA TINGGI: Tindakan seorang lelaki warganegara jiran yang cuba memperdayakan seorang warga emas dengan menawarkan tiket loteri yang kononnya memenangi hadiah wang tunai membawa padah apabila ditahan orang ramai.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan suspek berusia 50 tahun itu pada pukul 2 petang semalam.
Katanya, suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes jenayah tipu tiket loteri.
“Suspek ditahan dengan bantuan orang awam di Bandar Kota Tinggi semasa cuba menipu seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun dengan menawarkan tiket yang kononnya telah memenangi hadiah wang tunai.
SUSPEK warganegara asing yang cuba memperdayakan seorang warga emas dengan menawarkan tiket loteri yang kononnya memenangi hadiah wang tunai membawa padah apabila ditahan orang ramai.
“Suspek dipercayai warga asing menggunakan modus operandi yang menawarkan mangsa dengan mendakwa mereka telah memenangi hadiah kemenangan tiket loteri awam.
“Antara alasan yang digunakan untuk memperdayakan mangsa adalah menyatakan dokumen pengenalan diri seperti tiada pasport untuk menebus hadiah digunakan oleh suspek untuk meyakinkan mangsa membeli tiket loteri yang ditawarkan pada harga tertentu,” katanya di sini hari ini.
Mangsa kebanyakannya terdiri daripada warga emas dan hanya menyedari tertipu apabila gagal menebus tiket hadiah di kedai loteri.
Dalam kes tersebut, polis merampas sebuah kereta, empat keping tiket loteri disyaki palsu dan sebuah telefon pintar.
“Polis masih mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya sekiranya didatangi oleh individu yang tidak dikenali menawarkan tiket hadiah kemenangan loteri awam. – UTUSAN