JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mengumpul dana sebanyak RM4.74 juta menerusi program Majlis Santapan Diraja UTM 2022 untuk disalurkan kepada pelbagai tabung kebajikan penuntut yang kurang berkemampuan di universiti itu.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Fauzi Ismail berkata, dana yang dikumpulkan itu akan disalurkan ke dalam Tabung Endowmen, Wakaf Pendidikan dan ‘Because We Care Chancellor’s Fund’ untuk digunakan membiayai pengajian penuntut UTM, khasnya mereka daripada keluarga B40.
“Golongan ini memerlukan pembelaan untuk mendapatkan pendidikan berkualiti, selain aktiviti penyelidikan dan akademik yang memerlukan pembiayaan demi menjana kecemerlangan UTM di persada dunia, khasnya dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.
“Sejumlah RM4.74 juta ini dikumpul menerusi penjualan meja, penajaan serta sumbangan daripada syarikat korporat, industri, alumni UTM, staf serta penuntut dan individu,” katanya dalam program yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini malam semalam.
Majlis diserikan dengan keberangkatan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan isteri Pemangku Raja Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.
Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyempurnakan pelancaran tiga buku bertajuk Menelusuri Lima Dekad Pembangunan UTM, Kepimpinan Berwawasan Universiti Sanjungan Bangsa dan Penyelidik Berimpak, Mensejahterakan Masyarakat untuk jualan serta manfaat umum.
Permaisuri Johor juga berkenan menyempurnakan pelancaran program Serambi Al-Quds yang bertujuan mengumpul dana bagi menawarkan biasiswa kepada penuntut Palestin yang cemerlang untuk menyambung pengajian pada peringkat doktor falsafah di UTM.
Hingga kini, Serambi Al-Quds telah menerima sumbangan sebanyak RM2.2 juta.
Yayasan Johor Corporation (JCorp) menyumbang sebanyak RM500,000 manakala Johor Port Berhad menyumbang RM2 juta secara terus ke Tabung Endowmen UTM. – UTUSAN










