PORT DICKSON: PKR bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya terdapat usul untuk pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.
Bagaimanapun Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya mengingatkan kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan terlebih dahulu beberapa isu termasuk kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat.
“Seperti yang telah dijelaskan, memorandum persefahaman (MoU) terbatal apabila ada pilihan raya. Kalau ada pilihan raya, kami bersedia pada bila-bila masa.
“Tetapi keutamaan kerajaan adalah ekonomi sekarang ini, rakyat terbeban, tanggungjawab kerajaan untuk mengendalikan ekonomi dengan baik, supaya dapat ringankan beban rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Medan Selera Huat Huat Dataran Segar di Lukut, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Annuar Musa berkata, MoU tersebut kekal berkuat kuasa sehingga Parlimen dibubarkan.
Bagaimanapun, kekeliruan timbul kerana ada satu klausa dalam MoU itu yang menyatakan kerajaan tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai.
Kata beliau, sekiranya selepas berakhir Julai ini terdapat klausa untuk Parlimen dibubarkan, ia terpulang kepada Perdana Menteri dan kerajaan.
Anwar yang juga Pengerusi PH sementara itu berkata, selepas Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, PH akan terus mendesak untuk kerajaan memberikan keutamaan dalam beberapa isu lain sebelum Parlimen dibubarkan termasuk berkaitan transformasi pentadbiran.
MoU Transformasi Dan Kestabilan Politik tersebut mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu. – UTUSAN