Ustazah Dalila disenangi, dihormati ramai

Ustazah Dalila disenangi, dihormati ramai

MOHD. Khusairi Mohd. Khaida (tiga dari kanan) kelihatan sebak sambil memangku Nur Nadiah Husna dan Nur Ulmiyah Nuha (dua dari kanan) semasa pengebumian jenazah Nor Dalila Iylia (gambar kecil) dan anaknya, Khalis di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Ainsdale, Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Di sebalik perwatakan lembutnya, Allahyarham Nor Dalila Iylia Abu, guru Bahasa Arab di Sekolah Kebangsaan (SK) Ampangan di sini, sangat dihormati rakan setugas selain murid-murid sekolah berkenaan.

Berkongsikan perkara itu, Guru Besar SK Ampangan, Robiah Kasim berkata, Allahyarham yang maut bersama bayi lelakinya dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan, kelmarin juga komited dengan tugasnya selain mudah dibawa berbincang.

“Saya mula mengenai arwah sejak 2014 ketika sama-sama bertugas di SK Seremban Jaya 2 sehingga 2018 sebelum arwah berpindah ke SK Ampangan. Kami bertemu semula sebagai rakan setugas apabila saya pula bertukar ke SK Ampangan.

“Sepanjang mengenalinya, Allahyarham seorang yang baik dan lemah lembut. Bagaimanapun di sebalik perwatakannya itu, dia tetap disenangi ramai malah murid-murid sangat menghormatinya.

“Sebagai seorang ketua kepada Allahyarham pula, saya lihat dia sebagai seorang guru yang komited. Walaupun berdepan tuntutan sebagai seorang ibu kepada tiga anak, Allahyarham tetap tidak mengabaikan tugasnya sebagai guru,” katanya semalam.

Allahyarham Nor Dalila, 36, dan bayi lelakinya, Khalis Mohd. Khusairi, 1, maut apabila kereta yang mereka naiki bersama-sama tiga ahli keluarga lain terbabas lalu terjunam ke dalam parit di Kilometer 141.6 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara berhampiran Yong Peng, Batu Pahat, Johor kira-kira pukul 6.19 pagi, kelmarin.

Mangsa yang terselamat ialah pemandu kereta yang juga suami Allahyarham Nor Dalila, Mohd. Khusairi Mohd. Khaida, 39, dan dua anak pasangan tersebut, Nur Ulmiyah Nuha, 9, dan Nur Nadiah Husna, 6.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd. Zaidi Ramli memberitahu, Mohd. Khusairi adalah kakitangan jabatan tersebut yang bertugas di Port Dickson.

“JHEAINS telah membantu menguruskan kedua-dua jenazah yang dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Ainsdale di sini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN