UPSI universiti pertama hantar pasukan bantu mangsa banjir di Baling

UPSI universiti pertama hantar pasukan bantu mangsa banjir di Baling

PASUKAN ResQ UPSI berlepas dari Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjung Malim tengah hari tadi untuk membantu mangsa banjir di Baling, Kedah. - FOTO/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini menjadi universiti awam pertama yang menghantar pasukan membantu mangsa banjir di Baling, Kedah.

Pasukan ResQ  UPSI mula bergerak pada pukul 12 tengah hari  tadi dengan membawa pelbagai barangan keperluan berupa pakaian wanita seperti baju kurung, blouse, seluar, kain batik, tudung manakala untuk pakaian lelaki termasuk kameja, baju-T dan seluar jeans.

Selain itu, pakaian kanak-kanak lelaki dan perempuan serta keperluan asas seperti  telekung, selimut dan  cadar turut dibawa.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, UPSI sentiasa prihatin dan bersimpati terhadap nasib mangsa banjir termasuk kejadian terbaru di beberapa buah kampung di Baling.

“Kami memiliki pasukan ResQ yang memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi  yang terdiri daripada  kakitangan dan mahasiswa yang sentiasa bersiap siaga untuk membantu komuniti yang mengalami bencana alam termasuk banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu,  Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr. Norkhalid Salimin melepaskan pasukan ResQ yang diketuai oleh Dr. Omar Firdaus bergerak ke Baling bersama anggota seramai 15 orang staf dan pelajar ResQ di sini hari ini.

Norkhalid berkata, kekuatan jentera yang dihantar termasuk sebuah bas, tiga unit kenderaan pacuan empat roda, dua bot dan tiga unit kayak.

“Kami juga akan menyediakan bantuan pasca banjir seperti water jet dan pelbagai kelengkapan selain keperluan makanan untuk mangsa banjir.

“Pasukan ResQ juga akan membantu keluarga pelajar dan staf UPSI yang ditimpa musibah banjir yang melanda Baling petang semalam atas semangat kesukarelawanan dan kemanusiaan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN