UMNO tetap optimis ada ‘berita baik’ daripada RoS

UMNO tetap optimis ada ‘berita baik’ daripada RoS

UMNO
AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) belum membuat keputusan berkaitan permohonan pindaan perlembagaan parti dihantar pada 17 Mei lalu, namun UMNO tetap optimis akan ada ‘be­rita baik’ tentang perkara berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana segala prosedur telah dipatuhi sepenuhnya dan pindaan perlembagaan dibuat de­ngan teratur dan tertib berdasarkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO Khas.

“Walaupun pihak RoS belum memberikan sebarang jawapan atau keputusan mengenai perkara tersebut, UMNO berharap akan ada keputusan yang positif diterima.

“Kami serahkan sepe­nuhnya kepada RoS untuk membuat keputusan yang sebelum ini dijangka pada 16 Julai, tetapi belum ada sebarang perkhabaran mengenainya,” katanya dalam jawapan ringkas kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan sebarang keputusan berkaitan pindaan perlembagaan parti itu perlu dirujuk kepada Setiausaha Agung UMNO.

Menurut Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, RoS kebiasaannya berurusan secara langsung dengan Setiausaha Agung parti.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pe­megang jawatan di semua peringkat UMNO kini bukan ‘caretaker’ atau penjaga, sebaliknya disahkan jawatan untuk berkhidmat bagi tempoh 18 bulan lagi, iaitu hingga 29 Disember ini.

Katanya, Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO menyatakan Maj­lis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhak menangguhkan pemilihan pada peringkat MKT, Bahagian dan Cawangan.

Beliau mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa MCA telah mendapat kelulusan pindaan perlembagaan yang sepatutnya turut diberikan kepada UMNO oleh RoS.

“UMNO berhak untuk melaksanakan apa yang terbaik setelah diputuskan oleh Persidangan Agung UMNO (PAU), Persidangan Khas UMNO dan MKT,” tegasnya.

UMNO meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum diadakan untuk memberi ruang kepada ahli fokus terhadap gerak kerja pilihan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN