UMNO mesti bersatu dapatkan mandat baharu

UMNO mesti bersatu dapatkan mandat baharu

UMNO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO perlu bersatu hati walaupun tidak sehaluan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan mendapatkan mandat baharu demi kestabilan negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan supaya ahli parti itu tidak terikut -ikut dengan  segala percaturan, perbalahan, politiking yang hanya melemahkan UMNO secara dalaman.

Katanya, segala fraksi dalam UMNO mesti kembali bertaut untuk memastikan kesatuan haluan tersebut dapat dijayakan.

“Bagi menang pilihan raya dan mendapat mandat baharu, parti mesti bersatu dengan hanya satu haluan. Haluan itu ialah haluan UMNO, bukan haluan Presiden, bukan haluan Perdana Menteri dan bukan haluan mana-mana kelompok atau kluster.

“Benar, kita tidak akan boleh bersetuju dalam semua perkara, tetapi jangan kerana perbezaan pandangan, kita memilih untuk berpecah.

“Dukungan UMNO kepada Perdana Menteri mesti sepenuh hati. Begitu juga dukungan Perdana Menteri kepada Presiden dan parti mesti menyeluruh, kedua-duanya mesti menguatkan satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, Perdana Menteri dan Presiden UMNO mempunyai peranan masing-masing dalam kerajaan dan parti.

Beliau berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus menjadi suara UMNO dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula mesti menjadi jurubicara bangsa kerana dengan cara itu kerajaan dan parti terus sehaluan.

Katanya, puak berkepentingan di luar sangat gembira apabila UMNO berpecah belah kerana UMNO yang lemah akan mudah dikalahkan. 

“Menafikan UMNO mempunyai pergeseran dalaman adalah bohong. Namun pergeseran tersebut adalah lumrah dalam berpolitik. Jangan biarkan ia menjadi retak dan belah yang merugikan UMNO. 

“Ingat, biduk lalu kiambang bertaut. Lalu kembalilah semua ke haluan UMNO yang selama ini menjadi alasan kita semua berpolitik. 

“UMNO adalah wadah kita berkhidmat dan menyemai kebaikan selama ini. Fungsi itu tidak pernah berhenti. Tiada siapa yang lebih besar daripada wadah dan fungsi ini,” katanya. –UTUSAN

 

Habis

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN