KOTA BHARU: UMNO Bahagian Ketereh berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dapat meluluskan pindaan perlembagaan parti itu sebagaimana yang telah diputuskan oleh semua perwakilan semasa perhimpunan agung parti itu pada 15 Mei lalu.
Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, hal ini kerana RoS telah mengambil masa yang cukup lama iaitu lebih kurang dua bulan untuk membuat keputusan berkenaan.
Menurutnya, bagaimanapun UMNO Bahagian Ketereh menyerahkan perkara tersebut kepada RoS untuk membuat keputusan.
“Kita memahami jabatan itu terpaksa melakukan sedemikian kerana mempunyai implikasi undang-undang terhadap keputusan sama ada meluluskan atau sebaliknya.
“Saya juga difahamkan RoS terpaksa membuat rujukan kepada pakar undang-undang dan sebagainya. Tapi itu kerja RoS dan kita tidak campur, namun apa yang penting di sininya ialah badan berkenaan (RoS) membuat keputusan terlebih dahulu,” katanya semasa ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pasar Ketereh di sini hari ini.
Bekas Setiausaha Agung UMNO itu memberitahu, beliau mahu seluruh ahli UMNO berdoa agar urusan tersebut berjalan lancar sebagaimana yang telah diputuskan secara bersama pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu.
Pada 15 Mei lepas, PAU Khas secara rasminya meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.
Usul itu diluluskan sebulat suara 2,586 perwakilan UMNO dari 191 bahagian di seluruh negara yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC). – UTUSAN









