BACHOK : Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkenalkan set makanan lengkap atau Food Basket Siswa Keluarga Malaysia pada harga RM3.50 bagi membantu menangani kos sara hidup siswa berikutan peningkatan harga barangan ketika ini.
Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Razli Che Razak berkata, inisiatif yang dimulakan sejak 14 Julai lalu melibatkan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam selaras dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Menurutnya, pendekatan ini merupakan usaha UMK dalam membantu siswa daripada keluarga yang berpendapatan rendah (B40).
“Insiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kos sara hidup siswa agar tidak terbeban dengan isu peningkatan harga barang yang turut memberi impak kepada kuasa beli mereka.
“Pihak kami mendapat kerjasama baik daripada pihak pengurusan kafeteria UMK Bachok dan UMK Kampus Jeli serta Coffee Story di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa yang menyediakan makanan berkualiti dengan harga murah pelajar,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Razli memberitahu, permasalahan pelajar yang membabitkan kos sara hidup dan kebajikan sentiasa menjadi fokus utama UMK.
Katanya, pengusaha kafetaria juga diberi bantuan moratorium bayaran sewa selama enam bulan bermula Julai oleh UMK diatas kerjasama membela kebajikan pelajar.- UTUSAN










