UKM bantu mahasiswa tangani isu kenaikan kos sara hidup

UKM bantu mahasiswa tangani isu kenaikan kos sara hidup

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan mahasiswa yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan melaksanakan beberapa pendekatan segera bagi membantu mahasiswa menangani isu kenaikan kos sara hidup.

UKM melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) bersama Kesatuan Mahasiswa UKM, telah mengenal pasti pelajar-pelajar kurang berkemampuan dari golongan B40 untuk dibantu.

Beberapa program telah digerakkan segera, seiring dengan hasrat UKM memastikan kebajikan para mahasiswa sentiasa terjaga.

Antaranya, meneruskan Program Sumbangan Food@Campus hasil inisiatif KPT dengan pemberian kupon/baucar makanan yang dikhaskan kepada kumpulan pelajar B40 dan melaksanakan Program Bakul Makanan Sihat.

UKM juga menyediakan inisiatif (tanggungan penuh/sebahagian) dengan memperkenalkan pakej makanan serendah RM3.50 untuk harga sepinggan nasi, lauk dan sayur yang dikhaskan kepada kumpulan pelajar B40 yang telah dikenalpasti.

Pemantauan berkala dilakukan oleh pengetua-pengetua kolej penginapan bagi memastikan makanan yang disediakan sentiasa berkualiti dan menyihatkan.

Bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas diberikan secara percuma kepada pelajar-pelajar dan ini memberikan manfaat kepada lebih 8,000 pelajar kurang berkemampuan.

Sepanjang tahun 2021, pihak HEP UKM juga telah membuat agihan bantuan kepada 4,107 orang pelajar dengan jumlah sumbangan mencecah RM204,610.00.

Pada tahun 2020 pula, bantuan bakul makanan sebanyak RM979,089.00 telah diagihkan kepada 4,028 orang pelajar.

Selain itu, pelajar-pelajar ini akan dibantu melalui tabung bantuan pelajar dan melalui Pusat Zakat UKM.

Usaha ini sedikit sebanyak membantu pelajar-pelajar untuk membeli keperluan harian mereka.

Bagi mereka yang terkesan dan benar-benar memerlukan bantuan, boleh berhubung dengan Pusat Zakat UKM bagi permohonan bantuan.

Untuk inisiatif ini, dianggarkan RM4.5 juta bantuan umum pelajaran termasuk sara hidup bagi tahun 2022 telah diperuntukkan bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara.

Untuk rekod, Zakat UKM juga telah memberikan bantuan kepada pelajar dengan jumlah keseluruhan mencecah RM 5,613,276.00.

Antara bantuan yang disalurkan adalah Bantuan Umum Pelajaran 2021 & 2022 (Jumlah RM4,815,200.00), Bantuan Insentif Kecemerlangan (Jumlah RM107,600), Bantuan Khas Pelajar Baharu Sem 1 Tahun 1 (Jumlah RM203,000), Bantuan Sokongan Pengajian (Jumlah RM56,015), Bantuan Mobiliti (Jumlah RM33,000), Bantuan Musibah (Jumlah RM68,500), Bantuan Perubatan (Jumlah RM12,561) dan Bantuan Komputer Riba (Jumlah RM317,400).

Dengan pengenalan inisiatif-inisiatif ini, diharapkan beban mahasiswa dapat dikurangkan bagi meneruskan kehidupan mereka di kampus, seterusnya membantu supaya lebih fokus di dalam pengajian masing-masing.

Selain itu, UKM melalui kolej-kolej penginapannya juga telah bersetuju untuk terus memastikan harga makanan di kafetaria kolej tidak terlalu mahal dan berpatutan melalui pelaksanaan moratorium bayaran sewaan selama enam bulan mulai Julai 2022 yang diharap dapat membantu pengusaha-pengusaha kafetaria selain dapat menyerap kos peningkatan harga makanan dan minuman.

UKM berharap agar segala inisiatif segera ini boleh membantu mahasiswanya untuk meneruskan pengajian dengan lebih selesa.

Kita juga berharap agar lebih banyak sumbangan daripada para alumni dan badan-badan korporat bagi menambah bantuan terutama kepada mahasiswa daripada keluarga B40.

Keprihatinan yang ditunjukkan adalah selari dengan Tujuh Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi yang menekankan beberapa aspek tertentu seperti kesejahteraan komuniti dan kecemerlangan institusi. – UTUSAN

  • Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya