TVET laluan pelajar tercicir - Utusan Malaysia

TVET laluan pelajar tercicir

MAHDZIR Khalid (dua kanan) menyampaikan Anugerah Penarafan Pengurusan Kauseling kepada pengetua sekolah pada Majlis Kolokium Kaunseling Murid Berisiko Cicir Negeri Kedah di SMK Kuala Nerang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG: Pelajar sekolah yang dikenal pasti tidak lagi berminat dalam bidang akademik disarankan untuk mengikuti laluan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana bidang TVET turut memberi jaminan masa depan kepada mereka dengan penawaran kerja seiring kehendak industri.

“Sekarang kita mempunyai 280 institusi TVET di bawah KPLB dan sehingga Mac lalu, jumlah pelajar TVET KPLB sudah mencecah 48,785 orang.

“Hari ini saya mengesyorkan agar pelajar-pelajar yang keciciran sekolah ini jika dia tidak minat akademik lagi dia boleh pergi kepada kemahiran seperti GiatMara, Institut Kemahiran Mara, Kolej Poly-Tech Mara atau kolej lain yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kolokium Kaunseling Murid Berisiko Cicir Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, kolokium itu adalah untuk melihat bagaimana pelajar tercicir berhadapan dengan keluarga selain modul untuk menarik minat pelajar terbabit kembali ke sekolah.

Katanya, kes keciciran pelajar di kawasan luar bandar adalah kecil dan antara faktor yang dikenal pasti adalah masalah keluarga dan kemiskinan.

“Peratusan pelajar yang tercicir tidak ramai berbanding jumlah 5 juta pelajar sekolah di seluruh negara. Justeru, guru kaunseling perlu ada modul menarik untuk tarik mereka kembali ke sekolah.

“Oleh itu laluan pelajar ke TVET adalah pendekatan yang terbaik supaya negara melahirkan pekerja mahir terutamanya bagi industri yang berkembang pada hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN