Tuduhan bilangan surau berkurangan, Pemuda PH NS buat laporan - Utusan Malaysia

Tuduhan bilangan surau berkurangan, Pemuda PH NS buat laporan

PEMUDA PH Negeri Sembilan menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat mereka di IPD Seremban di Seremban 2 hari ini terhadap seorang pengguna TikTok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis terhadap seorang pengguna aplikasi TikTok ekoran satu video tular yang menuduh jumlah surau di Negeri Sembilan yang semakin berkurangan.

Naib Ketua 3, Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd. Shah berkata, tuduhan pengguna TikTok atas nama @NSKOBA_Official menerusi video berdurasi 59 saat itu dilihat sebagai berniat jahat dan menggunakan data yang dimanipulasi.

“Tuduhan yang dibuat seolah-olah pihak kerajaan negeri mengurangkan bilangan surau di Negeri Sembilan atas sebab tiada peruntukan sedangkan perkara tersebut adalah sebaliknya.

“Bilangan surau tersebut bukan berkurangan, tetapi bilangan surau tersebut adalah kerana dinaik taraf ke surau Jumaat. Berdasarkan maklumat yang ada, tiada lagi surau yang ditutup di Negeri Sembilan termasuk surau-surau di kampung Orang Asli,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di Seremban 2 di sini hari ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Seremban, Mohamad Afif Anuar pula menambah, pengguna TikTok itu menerusi video sama turut mendakwa kerajaan negeri telah meluluskan penganjuran pesta arak terbesar di Negeri Sembilan.

“Ini juga tuduhan jahat yang sengaja memberikan gambaran buruk kepada pihak kerajaan negeri. Sekiranya pengguna TikTok ini hanya sekadar membuat content tetapi ia tidak boleh sewenang-wenangnya memanipulasi fakta yang ada untuk mengelirukan rakyat.

“Hari ini, pihak kami membuat laporan polis terhadapnya supaya disiasat di bawah Akta Hasutan 1948. Imej agama Islam di Negeri Sembilan setakat di bawah kerajaan PH adalah dalam keadaan terbaik.

“Kami menuntut pengguna TikTok tersebut memadam video tersebut dan membuat permohonan maaf kepada pihak kerajaan Negeri Sembilan di atas fitnah yang dilakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN