TAMPIN: Penduduk di Kampung Sri Repah, di sini, memohon pihak bertanggungjawab menyegerakan kerja-kerja membaik pulih sebuah jambatan di jalan utama Repah-Kuala Pilah yang rosak sejak hampir sebulan lalu.
Mereka mendakwa, sejak ditutup untuk pembaikan, ia menyukarkan penduduk yang terpaksa menggunakan jalan kampung sempit serta jalan alternatif yang terletak jauh.
Seorang penduduk yang juga peniaga lemang, Mohd. Zubir Mohd. Esa, 55, berkata, sejak laluan tersebut ditutup, jualan lemangnya terjejas kerana ketiadaan pengguna kenderaan yang menggunakannya.
“Paling terasa semasa sambutan Hari Raya Aidiladha lalu, kebiasaannya sekitar 1,500 batang lemang boleh dijual namun hanya 600 batang yang laku iaitu dalam kalangan pembeli setia.
“Sebelum ni ramai pengguna jalan raya yang menggunakan laluan ini untuk pulang ke kampung seperti di Pahang dan membeli hasil jualan penduduk kampung. Bagaimanapun, apabila jalan terputus hubungan ia kini sunyi,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Repah, di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Abdul Rashid Mashrom, 53, berkata, mereka berdepan kesukaran ke Masjid Nurul Iman memandangkan laluan utama sudah terputus hubungan dan terpaksa pula menggunakan jalan kampung yang sempit.
“Terdapat lori tiga tan menggunakan laluan jalan kampung. Kalau berselisih sudah menyukarkan dan mengundang bahaya sebab jalan sempit serta di beberapa lokasi tebing juga tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Sri Repah, Arshad Ayop, berkata, jambatan berkenaan memang sudah lama dibina dan sekiranya hujan terlalu lebat berlaku limpahan air.
“Buat masa ini, selain jalan kampung yang sempit, pengguna jalan raya boleh melalui jalan di Kampung Ulu Yuh untuk ke Kuala Pilah yang jaraknya lebih jauh,” katanya. – UTUSAN