Tolak khemah besar seperti tolak Anwar Ibrahim - Utusan Malaysia

Tolak khemah besar seperti tolak Anwar Ibrahim

ANWAR IBRAHIM dan RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak yang mempertikaikan konsep khemah besar umpama menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana perkara tersebut diputuskan beliau yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, konsep itu adalah alternatif untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), sekali gus perlu diadakan bagi menyatukan pembangkang.

“Itu ialah keputusan yang dibuat oleh PH yang mana konsep khemah besar adalah ingin menyatupadukan parti pembangkang yang tulen.

“Itu dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar sewaktu pemukiman di Port Dickson. Itu faktanya. Kalau nak buat keputusan yang berlawanan, bermakna dia lawan Anwar lah,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, bakal Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di dalam Facebooknya menggesa ahli PKR memilih 20 calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi melengkapkan barisan kepemimpinan sesi 2022-2025 dalam kalangan mereka yang menolak idea khemah besar.

“Kita wajar memilih calon yang secara jelas menolak khemah besar. Sebahagian besar anggota PKR di seluruh negara pada dasarnya menolak khemah besar dan mahu PKR membina kekuatan sendiri.
“Undilah calon yang konsisten menolak khemah besar,” tulis Rafizi.

Guan Eng bagaimanapun enggan mengulas isu ‘keluarga dalaman’ PKR itu sehingga kesemuanya dimuktamadkan pada 17 Julai ini.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut berkata, tiada sebab menolak konsep khemah besar kerana ia adalah persetujuan bersama dalam PH.

“Apa pasal nak tolak (khemah besar)? Kita nak bawa kemungkinan Anwar menjadi Perdana Menteri itu berjaya. Kita nak semua parti pembangkang bersatu.

“Yang mana ingin kerjasama, kita pelawa. Yang tidak mahu, kita ucapkan terima kasih dan kita hormati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×