PETALING JAYA: Gangguan elektrik di Lembah Klang masih belum pulih meskipun kawasan di negeri lain telah pulih sepenuhnya.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan, beberapa kawasan di Semenanjung sedang mengalami gangguan elektrik sejak pukul 12:39 tengahari yang melibatkan 2.2GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan.
Antara bekalan kawasan terkesan bekalan elektrik adalah di Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota.
“Walau bagaimanapun, bekalan telah dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 20 hingga 40 minit di semua kawasan terlibat kecuali di kawasan-kawasan terbabit di Lembah Kelang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut TNB, punca kejadian sedang dikenal pasti dan usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.
“TNB akan memaklumkan kepada para pelanggan dari semasa ke semasa.
“Kami mohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” katanya. – UTUSAN










