Tidak sambung MoU, bukti komitmen Ismail Sabri terhadap parti

Tidak sambung MoU, bukti komitmen Ismail Sabri terhadap parti

FATHUL BARI MAT JAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keputusan tidak membuat perjanjian atau persefahaman baharu dengan pembangkang membuktikan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap keputusan dan ketetapan parti.

Justeru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya menegaskan agar ahli, akar umbi termasuk segelintir pemimpin UMNO sendiri supaya tidak meragui kesungguhan Ismail Sabri yang sentiasa mengikuti segala keputusan parti tanpa ragu lagi.

Katanya, dalam kalangan parti sendiri termasuk mana-mana pihak, hentikanlah serangan dan prasangka terhadap Ismail kononnya membelakangi keputusan parti.

Ujarnya, pertemuan berterusan ‘top 5’ parti turut membuktikan kesepaduan dan kesepakatan dalam kalangan kepemimpinan tertinggi parti.

“Situasi tersebut memperlihatkan perpaduan UMNO semakin mengukuh khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam semangat perpaduan yang sangat kuat.

“Keputusan tidak menyambung persefahaman dengan pembangkang jelas membuktikan komitmen Perdana Menteri terhadap keputusan parti dan ia tidak perlu diragui lagi.

“Harapan kita, ia akan memberi semangat kepada ahli dan akar umbi UMNO untuk terus bersatu selepas melihat usaha Perdana Menteri yang selari dengan keputusan parti,” katanya di sini hari ini.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan memutuskan tidak akan membuat perjanjian atau persefahaman baharu dengan pembangkang.

Sebaliknya, Ismail Sabri dilaporkan berkata, tumpuan kedua-dua pihak kini adalah untuk meneruskan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik sehingga Parlimen dibubarkan.

Kata Ismail Sabri, MoU antara kerajaan dan pembangkang ketika ini merangkumi beberapa isu termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di samping pendanaan politik.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tetap dengan pendirian agar MoU yang ditandatangani di antara kerajaan dengan pembangkang tidak perlu disambung.

Sementara itu Fathul Bari yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti memperlihatkan kesungguhan serta keseriusan Perdana Menteri dalam memenuhi tuntutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN