LUMUT: Tiada keperluan untuk mewujudkan Memorandum Persefahaman (MoU) baharu antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) atau MoU 2.0.
Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli berkata, ini kerana MoU sedia ada tiada tarikh luput dan hanya akan tamat dengan sendirinya apabila Parlimen dibubarkan.
Menurutnya, selagi Parlimen tidak dibubarkan dan tiada mana-mana pihak melanggar perjanjian dalam MoU itu, maka ia akan terus terpakai.
Pada masa sama, jelas beliau, pembangkang tidak mendesak kerajaan segera melaksanakan segala reformasi yang dipersetujui dalam MoU itu kerana memahami beberapa kekangan yang harus ditangani seperti situasi dihadapi dalam pembentangan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti.
“Cuma ada satu sahaja tarikh yang kita sebut iaitu tiada pembubaran Parlimen sehingga 31 Julai tahun ini.
“Ertinya, terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan selepas tarikh itu, jadi jika (Parlimen) dibubarkan, maka ia (MoU) akan tamat dengan sendirinya,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Parlimen Lumut sempena Aidiladha di Taman Samudera, Seri Manjung, di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming dalam program bersama Majlis Peguam dan Bersih pada Rabu lalu yang mencadangkan MoU itu dilanjutkan lagi bulan depan menerusi MoU 2.0 agar lebih banyak usaha pembaharuan atau reformasi dapat dilaksanakan di negara ini.
Mac lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, juga dilaporkan mencadangkan MoU itu dilanjutkan bagi memberi peluang Perdana Menteri memastikan semua pembaharuan yang dipersetujui dalam MoU sedia ada dapat dilaksanakan.
Awal bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, tiada tarikh tamat bagi MoU itu tetapi disanggah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, yang menyatakan pucuk pimpinan parti itu melalui MKT telah membuat keputusan MoU itu tidak dilanjutkan lagi bulan depan.
Menurut Mohd. Hatta, kemungkinan apa yang dinyatakan Kian Ming itu ialah sikap positif PH sebagai pembangkang yang melihat MoU itu harus berterusan demi pembaharuan negara dan persoalan itu akan dianggap selesai jika Perdana Menteri sendiri menyatakan demikian.
Beliau juga melihat Ismail Sabri lebih bertanggungjawab kepada negara berbanding parti, dan ia adalah sikap yang sewajarnya dimiliki oleh seorang Perdana Menteri.
Oleh itu, beliau berpandangan UMNO tidak boleh sewenang-wenangnya memperlekehkan Perdana Menteri yang mempunyai kuasa melangkaui dan melebihi kuasa parti politik, melainkan Ismail Sabri seorang pemimpin yang terlalu setia dengan parti, sehingga membelakangkan peranannya kepada negara.
“Setakat yang saya faham, kuasa Perdana Menteri itu besar, beliau boleh buat (dengan kuasanya) dan ada menteri di bawahnya (yang menuruti perintahnya).
“Saya tidak mahu membuat spekulasi apa yang dia boleh buat terhadap partinya sendiri, (tetapi) sebagai contoh, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, adalah Menteri Dalam Negeri yang menjaga Pendaftar Pertubuhan (RoS).
“Jika beliau (Hamzah) bertindak ke atas (keputusan RoS berhubung isu pindaan perlembagaan) UMNO, orang akan berkata (melihat) ini adalah arahan Perdana Menteri, sampai ke mana (kuasa itu digunakan), kita tahu kuasa itu ada,” ujar beliau.
Sementara itu, pada majlis itu, Dr. Mohd Hatta menyampaikan bantuan kewangan kepada lapan PVATM di Parlimen Lumut serta menyumbangkan dua ekor lembu untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Pangkalan Lumut dan seekor lembu kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk dikorbankan sempena Aidiladha tahun ini. – UTUSAN










