ALOR SETAR: Di sebalik masalah bekalan elektrik di seluruh negara semalam, seramai 146 jemaah haji bagi penerbangan terakhir selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini.
Pengurus LTSAH, Lokman Ahmad berkata, lapangan terbang tersebut tidak mengalami gangguan bekalan elektrik kerana menggunakan generator.
“Alhamdulillah semua jemaah selamat sampai mengikut jadual kerana tiada gangguan di terminal ini memandangkan operasi menggunakan generator sedia ada.
“Kami sudah bersedia apabila mendapat maklumat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut berlaku gangguan bekalan elektrik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menyambut Penerbangan Terakhir Operasi Haji Tanah Air di LTSAH, semalam.
Dalam pada itu, Pengarah Wilayah Utara Tabung Haji, Datuk Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata, penerbangan terakhir itu melibatkan 146 daripada 566 jemaah yang menggunakan stesen LTSAH pada tahun ini.
“Alhamdulillah di sebalik cabaran Covid-19, semua jemaah selamat menunaikan haji tanpa sebarang masalah kerana kerjasama baik antara semua pihak.
“Tiada sebarang penyakit yang serius dikesan dalam kalangan jemaah kecuali keletihan sahaja,” ujarnya.
Jemaah dari Sungai Petani, Abdul Sahurudin Abdul Jaffar, 52, melahirkan rasa syukur kerana selamat kembali ke pangkuan keluarga setelah berjaya menunaikan ibadah itu dengan sempurna.
“Saya dapat panggilan terakhir setelah 12 tahun menunggu. Walaupun tidak dapat menunaikan haji bersama isteri, namun saya reda,” katanya. – UTUSAN










