Teknologi EV mampu perkasa pengangkutan awam menjelang 2030

Teknologi EV mampu perkasa pengangkutan awam menjelang 2030

Dr. Adham (dua kiri) mencuba kenderaan elektrik semasa merasmikan Program CLEVER di Pusat Sukan EduCity, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Teknologi Kenderaan Elektrik atau Electric Vehicle (EV) berupaya memperkasakan pengangkutan awam dan perkhidmatan penghantaran menjelang tahun 2030.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, teknologi itu dapat dilihat menerusi pelancaran program Campuses for Electric Vehicle Expeditious Roll-Out (CLEVER) yang akan memberi tumpuan terhadap pembangunan dan penggunaan teknologi EV tempatan.

Menurutnya, inisiatif CLEVER juga menyokong Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020, iaitu untuk menyediakan 5,000 stesen mengecas EV bagi mengukuhkan sokongan infrastruktur EV di seluruh negara.

“Langkah ini secara tidak langsung akan menggalakkan rakyat Malaysia untuk memiliki dan menggunakan EV sebagai pengangkutan pilihan berbandingkan pengangkutan sedia ada.

“Menerusi NanoMalaysia Berhad (NMB) yang juga peneraju program CLEVER, mereka akan mengawal selia dan memacu inovasi syarikat pemula untuk mempercepatkan pembangunan dan penggunaan teknologi EV. 

“Ini termasuk pelaksanaan mobiliti elektrik dua roda, stesen pertukaran bateri dan stesen pengecasan tenaga boleh diperbaharui,” katanya semasa merasmikan program CLEVER dan majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara NMB dan tiga universiti tempatan di Pusat Sukan Educity, di sini hari ini.

Dr. Adham berkata, CLEVER turut menyediakan medium kepada syarikat pemula dan inovator untuk menjalankan ujian sebenar (real-time testing) dalam persekitaran yang terkawal.

“Penglibatan NMB signifikan dalam mewujudkan ekosistem kondusif yang menggalakkan bakat-bakat tempatan untuk membangunkan kecemerlangan teknologi bagi memasarkan pencapaian mereka.

“CLEVER merupakan inisiatif yang dilaksana untuk meningkatkan pembangunan dan penggunaan teknologi EV yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada MOSTI.

“Antara objektif CLEVER adalah untuk mengurangkan pelepasan karbon selaras dengan matlamat Malaysia menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050. CLEVER melihat potensi yang ada pada universiti sebagai perintis kepada program ini kerana persekitarannya terkawal dengan had kelajuan dan bilangan kenderaan yang kurang berbanding jalan raya utama,” ujarnya.

Tiga universiti tempatan yang terlibat dalam menandatangani MoU berkenaan adalah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Tenaga Nastional (UNITEN) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). – UTUSAN

 

 

Habis.

  1. Dr. Adham (dua kiri) mencuba kenderaan elektrik semasa merasmikan Program CLEVER di Pusat Sukan EduCity, Iskandar Puteri.

 

  1. Dr. Adham merasmikan Program CLEVER di Pusat Sukan EduCity, Iskandar Puteri.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya