MELAKA: Kehadiran seorang warga emas ke Pantai Klebang di sini kelmarin bersiar-siar bersama monyet peliharaannya diberi nama ‘Mat Dan’ menarik perhatian orang ramai yang berada di lokasi tumpuan itu.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Mad Saad Din, 60, berkata, dia bersama isteri, Zaidah Saad, 54, dari Sungai Petani, Kedah membawa Mat Dan bersama mereka menaiki kereta hampir tujuh jam untuk ke rumah anak yang tinggal di Durian Tunggal di sini.
Katanya, Mat Dan yang kini berusia setahun tidak boleh ditinggalkan bersendirian di rumah kerana akan merajuk berikutan hubungan yang rapat kerana dibela sejak kecil.
“Mat Dan ditinggalkan oleh ibunya di kawasan berhampiran rumah saya. Sejak saya jumpa dia, saya bela dia sehingga kini usianya dah cecah setahun.
“Saya dan isteri ke Melaka nak bersiar-siar dan melawat anak di Durian Tunggal sempena Aidiladha. Kami bawa Mat Dan bersama sebab tahu dia akan merajuk kalau ditinggalkan lama. Tujuh jam dalam kereta, dia okey sahaja.
“Mat Dan tidak seperti monyet liar lain. Dia jinak kerana saya bela sejak kecil. Hubungan kami memang akrab dan sebab itulah saya berani bawa dia jalan-jalan di Pantai Klebang ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambah Mad Saad, makanan kegemaran Mat Dan adalah mempelam selain kebiasaannya monyet berkenaan diberi makan nasi dan susu.
Katanya, untuk kembali ke Kedah, dia sedang merancang perjalanan demi mengelak kesesakan lalu lintas agar haiwan peliharaan kesayangannya itu tidak terlalu lama berada dalam kereta.
“Pertama kali datang ke Pantai Klebang, tempatnya cantik untuk lihat matahari terbenam. Saya sedang tengok-tengok jalan, kalau boleh tak mahu sangkut dalam kesesakan.
“Bawa haiwan seperti Mat Dan kalau boleh tak mahu dia terlalu lama dalam kereta. Ketika datang ke Melaka, tempoh tujuh jam itu okey untuk dia,” jelasnya. – UTUSAN










