MELAKA: Lokasi strategik, infrastruktur serta akses kepada jurutera dan pekerja mahir, kekal menjadi punca utama syarikat-syarikat dari Jerman terus berminat melabur di Melaka.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, setakat ini kerajaan negeri telah menerima sebanyak RM15 bilion pelaburan dari negara tersebut.
Menurutnya, salah satu syarikat yang membuat pelaburan terbesar ialah Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd. (Infineon) yang sudah bertapak di negeri ini sejak lebih 50 tahun dalam menghasilkan produk semi konduktor.
“Sebuah lagi syarikat terbaharu yang turut membuat pelaburan ialah Leuze Electronic Malaysia Sdn. Bhd. (Leuze) yang mula bertapak di kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Tangga Batu.
“Syarikat pengeluar dan pembuatan alat elektronik sensor itu menjadikan Melaka sebagai lokasi pertama pengembangan operasinya di Asia Tenggara dengan nilai pelaburan sebanyak RM100 juta.
“Syarikat-syarikat dari Jerman melihat Melaka adalah tempat terbaik untuk melabur dan mengembangkan perniagaan mereka kerana dari sudut budaya pekerjaan, hampir sama dengan budaya yang telah diamalkan di negara mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Leuze yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Ab. Rauf berkata, syarikat itu menyatakan hasrat menambah pelaburan sebanyak RM100 juta lagi bagi pembukaan sebuah lagi kilang lebih besar tidak lama lagi.
“Kilang yang mempunyai keluasan sehingga 7,000 kaki persegi itu kini mempunyai seramai 100 pekerja dan dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk menarik ramai anak tempatan bekerja di kilang tersebut sehingga hujung tahun ini,” katanya. – UTUSAN