IPOH: Penganggur yang ditahan berkaitan kes bunuh abang dan kakak iparnya di Taman Bercham Aman dekat sini Khamis lalu, akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh esok.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek berusia 61 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kertas siasatan telah dimajukan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak dan kita telah mendapat arahan tuduh ke atas suspek bagi dua pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek akan dituduh di mahkamah esok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek sebelum ini direman selama tujuh hari yang berakhir esok.
Menerusi laporan media Khamis lalu, mayat suami isteri berusia 64 dan 59 tahun itu dijumpai dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di kepala di ruang tamu rumah.
Mayat kedua-dua mangsa dijumpai oleh abang kepada si mati lelaki pada pukul 8.50 pagi.
Suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga milik kakak iparnya itu bagaimanapun berjaya diberkas di sebuah hotel di Genting Highlands pada pukul 7.45 malam, hari sama.
Suspek ditangkap bersama sebilah kapak yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam insiden pembunuhan berkenaan. – UTUSAN










