Sungai Bukit Jernih tercemar?

Sungai Bukit Jernih tercemar?

AZMI Ariffin menunjukkan air Sungai Bukit Jernih yang semakin kotor dan tercemar kesan daripada air dari sawah berhampiran disalirkan ke sungai tersebut di Chuping, Perlis, baru-baru ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Bukit Jernih di Chuping di sini yang menjadi tumpuan orang ramai beriadah menjadi semakin kotor dan keruh didakwa berpunca daripada air di kawasan sawah berhampiran yang disalirkan ke sungainya.

Racun pertanian sawah berhampiran yang dikatakan mengalir ke sungai itu menyebabkan ada dalam kalangan pengunjung mengadu gatal-gatal selepas mandi di situ.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Rekreasi Bukit Jernih (PRBJ), Azmi Ariffin berkata, kesan pencemaran itu mengakibatkan kawasan ekopelancongan tersebut semakin kurang dikunjungi termasuk pada cuti hujung minggu.

Katanya, jika dahulu, kawasan geotapak itu dikunjungi beratus-ratus pengunjung pada cuti hujung minggu untuk berkelah dan mandi-manda namun kehadiran kini berkurang sehingga 80 peratus.

Ujarnya, kawasan rekreasi tersebut dibangunkan dengan begitu cantik termasuk sebagai salah satu lokasi perkhemahan popular di negeri ini, namun apabila air mula tercemar secara tidak langsung memberi kesan terhadapnya.

“Sekarang sungai mula tercemar, kotor dan apabila hujan keadaan bertambah teruk apabila air bertukar kepada warna ‘teh ais’.

“Masalah ini berpunca apabila air dari sawah berhampiran yang mempunyai kesan racun pertanian dan baja turun ke Sungai Bukit Jernih. Disebabkan itu, air di sungai ini mula kotor dan ada pengunjung yang mengadu gatal-gatal apabila mandi.

“Sejak lima ke enam bulan lalu, orang ramai semakin berkurangan. Yang tinggal kini cuma aktiviti perkhemahan daripada jabatan-jabatan. Kami berharap pihak bertanggungjawab memandang serius isu ini dengan menyediakan saliran baharu untuk air dari sawah berhampiran itu keluar,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kedai makan di situ, Aliza Md Saad, 53, berkata, masalah pencemaran tersebut turut memberi kesan kepada perniagaannya.

Dia yang menyambung perniagaan ibunya sejak 1980-an itu berkata, dulu sungai daripada sumber air bawah tanah itu sangat jernih dengan orang ramai sentiasa memenuhi kawasan perkelahan popular tersebut.

“Sejak akhir-akhir kawasan ini semakin sepi dan untuk mendapat RM100 termasuk pada cuti hujung minggu pun semakin susah,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan dan pemerhatian Utusan Malaysia di Bukit Jernih baru-baru ini mendapati, tidak ada seorang pun pengunjung dari pukul 10 pagi sehingga 1 petang.

Sebagai rekod, kawasan rekreasi Bukit Jernih mendapat pengiktirafan sebagai salah satu geotapak di negara ini kerana mempunyai pelbagai struktur geologi penting iaitu batu kapur formasi Chuping berusia 240 juta tahun selain dipenuhi pelbagai jenis fosil dan geotrail.

Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di Bukit Jernih termasuk mendaki bukit, memanjat dinding bukit, meneroka gua, berkhemah, berkayak serta menjadi tumpuan pengunjung beriadah serta mandi-manda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya