Sumbang untung jual lemang untuk kit jenazah

Sumbang untung jual lemang untuk kit jenazah

Muhammad Hydier Hamid (kiri) melayan pelanggannya di Kampung Salak Tinggi, Selangor hari ini. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Sempena Hari Raya Aidiladha, esok, Belia Gugusan Salak (Bagus) akan menyumbang keuntungan jualan lemang mereka untuk pembelian kit pengurusan jenazah.

Menurut Pengerusi Bagus, Muhammad Hydier Hamid, kit tersebut akan disumbangkan ke beberapa surau terpilih sebanyak 20 unit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek dan lain-lain.

“Tahun ini untuk tiga hari hasil jualan kita sasarkan lemang mampu dijual hingga 11,000 batang. Hasil keuntungan kita akan sumbangkan kit pengurusan jenazah di beberapa surau.

“Setiap lemang dijual dengan harga RM12 hingga RM24 sebatang tanpa ada kenaikan harga,” katanya ketika ditemui di Kampung Salak Tinggi dekat sini.

Muhammad Hydier berkata, sebelum ini keuntungan jualan lemang sempena Aidilfitri disumbangkan untuk membeli katil boleh laras untuk pesakit terlantar.

Katanya lagi, lemang yang dijual mendapat sambutan baik semasa Aidiladha mahupun Aidilfitri sejak lebih lima tahun lalu.

Mengulas mengenai harga rendang ayam, pihaknya tetap menjual mengikut harga lama iaitu RM12 untuk pek kecil dan RM60 untuk sekilogram.

“Semua harga kekal walaupun berlaku kenaikan harga seperti ayam dan barang-barang lain. Kita sedar semua orang sedang kesusahan, jadi apa salahnya menjual dengan harga berpatutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN