Stadium Shah Alam: Kekal, aktifkan promosi seperti Stadium Bukit Jalil

Stadium Shah Alam: Kekal, aktifkan promosi seperti Stadium Bukit Jalil

AZHARI Shaari (enam, kanan) bersama sebahagian daripada lebih 20 penduduk Shah Alam hadir dalam perhimpunan membantah perobohan Stadium Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Selangor Sultan Sharafuddin Abdul Aziz Shah dirayu menitahkan membatalkan segala cadangan berkaitan tindakan merobohkan Stadium Shah Alam kerana ia mempunyai nilai sejarah penting.

Ini kerana, pembinaan stadium tersebut bersama-sama Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di bandar raya ini adalah simbolik kepada penyerahan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan pada 1974.

Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, stadium kebanggaan rakyat negeri itu perlu dikekalkan berikutan bangunannya dianggap sebagai mercu tanda yang tiada galang gantinya.

“Sebagai rakyat Selangor, laporan berkaitan Stadium Shah Alam yang didakwa mahu dirobohkan amat mengejutkan. Bangunan ikonik berkenaan perlu terus dipelihara dan dipulihara sejajar dengan kedudukannya yang melambangkan kewujudan Shah Alam secara keseluruhannya.

“Lebih menimbulkan nostalgia apabila dirasmikan sendiri Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1994 dalam suasana yang gilang gemilang. Ia bukti komitmen almarhum dalam janjinya kepada rakyat Selangor bagi mewujudkan sebuah pusat pentadbiran negeri yang lengkap di Shah Alam selepas Kuala Lumpur diserahkan kepada Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri perhimpunan aman membantah perobohan Stadium Shah Alam, yang dihadiri lebih 20 penduduk di Bandaraya Kota Anggerik itu, semalam.

Azhari menambah, sekarang juga bukan masa yang sesuai untuk menuding jari kerana sukan bola sepak menyatukan semua peminatnya, justeru stadium lambang kemegahan Selangor dan pasukan bolanya perlu dipertahankan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Stadium Shah Alam yang berusia hampir 30 tahun itu didakwa akan dirobohkan dan digantikan dengan stadium berkapasiti sederhana iaitu sekitar 30,000 hingga 40,000 penonton dalam satu-satu masa.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut menarik perhatian Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail supaya kerajaan negeri mencontohi penjenamaan semula Axiata Arena daripada Stadium Putra Bukit Jalil yang pernah berdepan krisis kewangan untuk pengurusan dan penyelenggaraan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kemudian mengulangi kenyataannya mengenai pengumuman perincian pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Azhari menyeru kaedah pengurusan, penyelenggaraan dan promosi Stadium Nasional Bukit Jalil dijadikan contoh supaya kekal menjadi tarikan kepada penganjur-penganjur acara memilihnya sebagai lokasi pelbagai aktiviti.

Justeru, stadium ikonik Selangor berkapasiti  80,300 penonton itu perlu dikekalkan dan kerajaan negeri digesa mengekalkan bangunan tersebut serta tidak alpa dalam pengurusan dan penyelenggaraannya yang perlu dilakukan secara berterusan.

Kata Azhari, kerajaan negeri tidak perlu berbelanja besar untuk meruntuh dan membina stadium baharu yang memerlukan perbelanjaan lain bagi tujuan pengurusan serta promosi.

“Tidak perlu pergi jauh atau melantik konsultan dengan kos yang mahal. Rujuk sahaja pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil yang bijak mempelbagaikan aktiviti serta mempromosi kawasan sekitar stadium  dengan program-program lain yang mendatangkan sumber pendapatan lain seperti penganjuran karnival.

“Masalah di Malaysia ini, kita ada budaya terlepas pandang dengan kerja-kerja penyelenggaraan, ” ujarnya.

Tambahnya, pembangunan pesat di sekitar Stadium Shah Alam seharusnya menjadi kelebihan untuk kompleks berkenaan menjana ekonomi apabila stesen Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) yang sentiasa siap pada 2026 dimanfaatkan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.