PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan operasi khas bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) di beberapa negeri di seluruh negara.
Operasi besar-besaran dikenali Op Hire berkenaan dikendalikan Ibu Pejabat SPRM bersama-sama SPRM negeri dan telah dijalankan secara serentak bermula hari ini.
SPRM dalam satu kenyataan malam ini memberitahu, SPRM dengan kerjasama Perkeso membangunkan maklumat menerusi pemantauan dan risikan terhadap penerima dana dan mendapati ada majikan-majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana ini.
“SPRM memandang serius isu berkenaan kerana ia berkepentingan awam sekali gus memberi jaminan akan menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan pihak-pihak yang terlibat dikenakan tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuatkuasa,” kata kenyataan itu.
Untuk rekod, Program Penjana Kerjaya merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal 2020.
Program ini dilaksanakan oleh Perkeso bagi tujuan merangsang ekonomi negara melalui pewujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja. – UTUSAN










